Sunday, January 5, 2014

Government-Knows-Best



NO MORE GOVERNMENT KNOWS BEST ERA IN MALAYSIA?


Okay, column kali ni terpulang kepada kalian untuk menilai. Sungguh agak berat untuk disanggah tapi kalian sendiri boleh menilai.. memang umur aku baru setahun jagung untuk membincangkan tentang arena politik tanah air..Tapi, sebagai masyarakat yang madani, tidak salah untuk berkongsi rasa.. Kepada kerajaan yang memerintah, kami mengharapkan ketelusan dan keupayaan anda untuk merealisasikan menifesto yang dijanjikan.. Terima kasih kerana telah menjamin kedaulatan negara serta berusaha untuk melakukan transformasi yang berhemah dan menguntungkan.. Kepada pihak pembangkang, tidak bermakna aku menyebelahi anda walaupun hakikatnya setiap apa yang dibongkarkan dan dilakukan, mendapat sokongan penuh daripada aku.. In fact, semua boleh cakap sebab mereka tiada di tempat sebenar.. Tapi yang menanggung rasa berusaha untuk membina Malaysia lebih maju dan sejahtera dalam aspek politik, ekonomi dan sosial..


Apa tu Government-Knows-Best.. okay, sebenarnya pun aku tidak tahu dengan detail mksudnya.. tapi setelah mendapat pnjelasan dari GKMP bahasa yang sangat berketerampilan di sekolah dulu, aku mengerti.. sebenarnya, aku hendak kalian menilai.. Government-Knows-Best tu, kiranya setip ruang lingkup pemerintahan, kerajaan mengetahui segalanya.. Kerajaan yang berhak.. mcm pentadbiran dulu kala, or diktator, kerajaan yang control semua.. Rakyat cuma mengikut arahan tanpa bantahan kerana dikawal atas faktor keselamatan.  betul ke? Amboii sempurna segala.. Hurm, essei ni nukilan diri yang ampuh dan tidak bertindak untuk menghentam sebarang pihak.. Mungkin sedikit panjang dan agak bosan bagi yang kurang meminati faktual.Tapi apa pun, feedback dari kalian sangat dialu- alukan. Mungkin ramai yang fikir aku akan memuji sokmo pemerintahan yang sedia ada di Malaysia sebab nak mendapat tempat dalam pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Maybank di peringkat universiti...tapi takpe, mungkin betul, even penulisan aku sedikit hambar, aku tetap menaruh harapan. Hurm, setelah setahun lebih kertas conteng ni disimpan, aku membaca kembali..dan sedikit tak bersetuju.. seolah- olah pemerintahan sedia ada di negara ini sudah perfect segala sampaikan no more Government-Knows-Best yang selayaknya dikritik. Berikut merupakan nukilan yang skeptikal dan tiada pengalaman.. aku tidak mengubah walau seinci ayat sekalipun.. soalan dia mngkin aku sedikit lupa tapi berbentuk begini.. apakah implikasi setelah berlakunya era pemerintahan Government-Knows-Best.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mendukung prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Lembaran hitam yang dilalui oleh penduduk pramerdeka sinonim dengan gambaran yang jelas bahawa penjajahan itu suatu tempoh yang memeritkan. Oleh itu, sebagai generasi muda yang menjalani kehidupan pascamerdeka, seharusnya memanjatkan kesyukuran dengan nikmat yang diperolehi dalam entiti kebahagian yang sebenar iaitu kemerdekaan. Tokoh nasionalis negara yang berjiwa kental telah mengembalikan kemerdekaan negara setelah dirobek sekian lama oleh kolonial Eropah. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka memperlihatkan penguasaan golongan pemerintah semata- mata dalam institusi pentadbiran telah menyumbang kepada ketamakan harta dan pembelotan kuasa. Anjakan paradigma yang dikecapi dalam arus modenisasi ini telah mengubah perspektif masyarakat dangkal dan dilenkuen ke arah suatu era pembentukan masyarakat yang berswadaya tinggi. Era Government-Knows-Best merupakan justifikasi masyarakat global untuk melakukan transformasi agar hak dan kepentingan mereka tidak dieksploitasi dengan mudah oleh badan pemerintahan. Berlakunya banyak revolusi pemerintahan dunia yang bertukar tampuk pemerintahan dan penonjolan kefahaman ideologi politik yang berbeza telah jatuh dan tersungkur dengan lembaran yang sangat hina.

Implikasi yang jelas setelah berlakunya era pemerintahan Government-Know-Best ialah kewujudan masyarakat dunia yang harmoni. Setiap negara mampu mewujudkan pentadbiran dunia yang lebih sistematik. Di Malaysia, penglibatan rakyat dalam menempatkan diri dalam pelbagai sektor profesional  telah mewujudkan pentadbiran yang telus, amanah, akauntabiliti dan integriti. Penglibatan secara seimbang antara golongan pemerintah dan golongan yang diperintah mampu menjana potensi modal insan ke arah kecekapan pengurusan dalam pentadbiran. Melalui pendekatan yang strategik, amalan pengurusan modal insan dalam aspek pemilihan, pembangunan dan pengurusan personel iaitu pekerja amat diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja yang yang berupaya memenuhi cabaran pada abad ke-21. Jika dahulu rakyat yang miskin sering ditindas oleh golongan pemerintah dengan pengenaan cukai yang tinggi dan kerahan tenaga yang berlebihan, namun situasi tersebut telah jauh berubah. Mereka diberi layanan yang adil oleh pihak kerajaan dengan pelbagai insentif supaya kehidupan mereka dapat diubah ke arah yang lebih mapan. Jurang kehidupan juga mula dikurangkan agar hak dan kepentingan setiap warganegara terjamin serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.  

Sementelahan pula, pelaksanaan kuasa oleh setiap badan pemerintahan dapat dilakukan secara seimbang dan efektif. Teori pengasingan kuasa merupakan suatu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan kuasa kepada tiga badan utama iaitu perundangan (Legislatif), pemerintahan (Eksekutif) dan kehakiman (judisari). Pembahagian ini dapat mengatasi pemusatan kuasa secara melampau kepada sesuatu badan kuasa yang terlibat. Sebagai sebuah negara persekutuan, pembahagian kuasa ini dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ketiga- tiga badan ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu sama lain untuk mewujudkan sistem pentadbiran yang efisien. Badan Legislatif berfungsi sebagai penggubal undang- undang, seterusnya Badan Eksekutif memastikan pelaksanaan undang- undang tersebut dijalankan manakala Badan Kehakiman berfungsi untuk mentafsirkan undang- undang berkenaan selari dengan kehendak perlembagaan ataupun tidak. Doktrin ini dapat mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari despotisme dengan cara membahagikan kuasa untuk mewujudkan periksa dan imbang antara kuasa tersebut.   

Sejajar dengan itu, perancangan ekonomi dapat dirangka dengan lebih kukuh. Sistem sosialis atau sistem ekonomi perancangan pusat melembapkan kadar pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana penghapusan pemilikan harta kekayaan persendirian tidak menggalakkan daya usaha individu. Ironinya, individu tidak terdorong untuk bekerja kuat di samping tiada penawaran insentif daripada pihak kerajaan. Umum mengetahui bahawa kerajaan yang mengamalkan ideologi komunisme mendukung prinsip ini kerana keserataan agihan yang adil dan saksama kepada setiap warganegara tanpa mengikut status sosial. Berbeza jika sebuah negara mengamalkan prinsip ekonomi campuran yang melibatkan institusi kerajaan dan swasta seperti yang berlaku di Malaysia. Sektor swasta bebas membuat keputusan dalam peruntukan sumber. Walau bagaimanapun, kerajaan mengawal penggunaan sebahagian sumber seperti pengeluaran petroleum dan sebagainya. Pengguna bebas memilih barangan mengikut cita rasa dan kemampuan, sedangkan kerajaan mengawal pilihan pengguna yang menjejaskan kebajikan masyarakat. Ketidakserataan agihan pendapatan sering berlaku. Justeru, campur tangan kerajaan mampu merapatkan jurang ketidakserataan seperti percukaian dan subsidi, pengenaan dasar harga yang sesuai. Insentif untuk bekerja kuat adalah tinggi di sektor swasta. Hal ini berlaku kerana upah atau gaji dibayar mengikut daya pengeluaran dan keupayaan sumbangan pekerja. Insentif untuk meningkatkan keuntungan, menggalakkan firma menghadapi risiko, meningkatkan inovasi dan kecekapan pengeluaran cenderung berlaku. Sebaliknya, kekurangan insentif untuk berusaha kuat berlaku di sektor kerajaan. Hal ini kerana peluang kenaikan pangkat adalah rendah dan kadar kenaikan gaji adalah tetap dan lambat. Malahan, kerajaan lebih mementingkan penurunan pengangguran daripada produktiviti buruh.

Selaras dengan itu, pengurusan dan penyampaian dalam perkhidmatan juga menjadi lebih efektif dan efisien. Era Government- Knows-Best meminifestasikan pengurusan dan penyampaian yang lemah sehingga mewujudkan sistem pentadbiran yang rapuh. Berlakunya banyak penyelewengan dalam kerajaan pada waktu itu, yang melibatkan kronisme dan nepotisme. Kebejatan moral dalam institusi pemerintahan sekaligus telah membawa kepada keruntuhan pemerintahan tersebut. Sebagai antaboga, kebangkitan rakyat di Timur Tengah, ‘Arab Spring‘ telah meledakkan semangat rakyat yang sentiasa ditindas dan masalah ekonomi meruncing.  Hal ini menunjukkan bahawa pemerintahan autokrasi tidak lagi relevan dalam pemerintahan sesebuah negara. Setelah berlakunya era Government-Knows-Best tersebut, wujudnya pengurusan penyampaian dalam perkhidmatan yang efektif dan efisien, seperti yang diharapkan oleh pihak- pihak berkepentingan, di samping memastikan perkhidmatan tersebut menguntungkan serta pengurangan terhadap sumber dan dana yang diperlukan. Pihak pemerintah perlu mengambil pendekatan yang bersesuaian agar perkhidmatan kepada rakyatnya mencapai piawaian yang jelas, cekap dan responsif.

            Era Government-Knows-Best bukan sahaja mneruskan delegasi warisan, malah pemerintahannya juga menyentuh kronisme dan nepotisme. Setelah era tersebut tersungkur, pemerintahan yang muncul kini mampu menjamin kepimpinan yang dipilih membawa transformasi yang diharapkan oleh rakyat. Kepimpinan atasan dalam pemerintahan dan pentadbiran negara perlu mempunyai hala tuju yang jelas. Sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan sistem monarki di England pada zaman Dinasti Stuart dan Dinasti Tudor disebabkan oleh pemerintahan yang diamalkan oleh mereka menekan rakyat jelata dalam aspek seluruh aspek kehidupan. Di Malaysia sendiri, pilihan raya yang dijalankan lima tahun sekali bertujuan untuk memilih pemimpin yang mewakili rakyat berdasarkan menisfesto yang dijanjikan. Banyak dasar yang dirangka oleh pihak pemerintah dalam memoden dan memajukan pentadbiran negara. Antaranya Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu dasar untuk membetulkan ketidak seimbangan sosioekonomi yang wujud di Malaysia antara kaum- kaum, wilayah- wilayah dan di antara kawasan di wilayah yang sama. Rancangan- rancangan pembangunan di bawah Dasar ekonomi Baru telah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata bagi mengurangkan dan membasmi kemiskinan serta melakukan semula penyusunan masyarakat untuk mengurangkan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi- fungsi ekonomi.

            Malahan, ketegangan dalam arena politik yang ekstremis dapat dielakkan. Suasana yang kompetitif dapat memesatkan kadar pertumbuhan ekonomi. Mangkin yang efektif meletusnya perang dunia kedua di Eropah ialah pertembungan ideologi Demokrasi menentang Fasisme dan Nazisme. Fasisme dikaitkan dengan Benito Mussolini yang menjadi diktaktor Itali antara tahun 1922 hingga 1943. Nazisme pula muncul di Jerman lewat 1920-an dan menjadi ideologi negara setelah Adolf Hitler menguasai Jerman pada tahun 1933. Kedua- dua ideologi ini memberi keutamaan kepada kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Mereka sanggup menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan semua tentangan serta mengukuhkan penguasaan mereka di dalam mahupun di luar negara. Hal ini mencetuskan pelbagai ketegangan sehingga membawa kepada pelbagai kemusnahan yang teruk. Kini, peristiwa tersebut menjadi sejarah dan peringatan kepada setiap pemimpin dunia bahawa peperangan tersebut tidak mendatangkan apa- apa kepentingan sebaliknya membinasakan masyarakat dan  negara. Kesederhanaan dalam politik hendaklah diterapkan agar perkara seumpama ini tidak memusnahkan negara dan aset sedia ada kelak.

            Sebagai intihanya, era Government-Knows-Best merupakan titik tolak berlakunya pembaharuan dalam sistem pemerintahan yang adil di dunia ini. Penglibatan rakyat dlam sistem pentadbiran negara sememangnya perlu agar pemusatan kuasa oleh badan pentadbir dapat dielakkan. Sebagai generasi muda, pemerkasaan dalam pendidikan dan inovasi kemahiran hendaklah dipandang berat agar Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Kemajuan yang tidak semata- mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal mengliputi pengwujudan suatu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang inggi serta boleh dicontohi oleh negara- negara lain. Sejarah telah mengajar kita erti kemerdekaan yang sebenar. Oleh itu, masyarakat diseru supaya berganding bahu agar kita tidak ditindas di tanah air sendiri oleh anasir di dalam mahupun di luar negara yang tidak bertanggungjawab. Kewibawaan kerajaan memerlukan penglibatan dan sokongan rakyat. Justeru, era Government-Knows-Best tidak lagi praktikal dalam arus globalisasi.




           

0 comments:

Post a Comment